AKTIVITI 2012

1. Gotong royong PSS
2. Lawatan Ke Pesta Buku
3. Minggu Pusat Sumber
4. Nilam Guru
5. Nilam Pelajar
6. Dan lain-lain lagi.....

Catatan Dari Bumi UK

Assalamualaikum dan salam muhibah kepada pembaca-pembaca. Pertama sekali saya ingin merentaskan jaringan terima kasih kerana diberi peluang untuk menulis dalam blog ini. Untuk coretan pertama ini saya hanya ingin merelaikan hemat saya berkenaan penggunaan bahasa kebangsaan.

Berdasarkan pengalaman saya banyak rakyat Malaysia enggan berbahasa Inggeris kerana risau akan hilang kemelayuan mereka. Tidak pernah saya mampu memikirkan rasionalnya alasan tersebut justeru bingung mentafsirkannya. Kitapun bukanlah menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan seharian malah dengan merojakkan bahasa itu sebenarnya lebih terhina daripada tidak menggunakan bahasa itu langsung. Peratusan paling tinggi yang gagal matapelajaran Bahasa Melayu adalah murid-murid Melayu juga. Adakah kerana mereka ini berbahasa Inggeris sepanjang masa? Kita langsung tidak perlu meninggalkan terus bahasa Melayu hanya untuk berbahasa Inggeris. Jadi tidak timbul persoalan hilang kemelayuan seseorang itu.

Dalam pembelajaran sesetengah matapelajaran juga, penggunaan bahasa perantaraan selain bahasa Melayu tidak akan menjejaskan penguasaan seseorang terhadap bahasa ibundanya justeru membantu menguasai bahasa keduanya. Di Britain, mereka berbangga apabila mampu bertutur dalam lebih daripada satu bahasa. Kebanyakan mereka mempelajari bahasa Perancis dan boleh fasih bertutur selepas sekurang-kurangnya tiga tahun. Berapa tahunkah Bahasa Inggeris diajar dalam kurikulum pelajaran Malaysia? Apakah khilaf yang menyebabkan penguasaan bahasa tersebut sangat lemah kendatipun diajar lebih sedasawarsa? Walaupun fasih berbahasa Perancis, mereka masih menggunakan bahasa ibunda mereka dengan betul. Bahasa Inggeris terbaik dituturkan oleh Permaisuri Elizabeth. Raja-Raja Melayu pun berbahasa Inggeris. Perbendaharaan kata istana baginda-baginda ini yang didengar hanya ‘beta’,‘titah’,‘santap’ dan ‘mangkat’, itupun kerana telah diskripkan. Tiada juga bukti pembesar-pembesar negara tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa apabila mereka sendiri melaungkan pemerkasaan bahasa Melayu dan sekolah kebangsaan. Institusi-institusi tinggi yang penting dalam memartabatkan bahasa ibunda pula membenarkan penggunaan perkataan pinjaman. Saya tidak mahu menggunakan perkataan teknologi, saintifik, bas, beg, siling, komputer dan banyak lagi kerana saya sayang akan bahasa Melayu. Akan tetapi cuba berikan saya perkataan lain untuk menggantikan perkataan-perkataan tersebut. Mereka yang menulis kamus pun tidak akan mampu.

Kita seharusnya buka mata dan galas tanggungjawab di bahu untuk memartabatkan bahasa ibunda. Pada masa yang sama, kuasai bahasa lain untuk kita berupaya memartabatkan bangsa pula. Memang ada negara yang menolak bahasa kedua namun usahlah kita membandingkan diri kita dengan Jepun atau Rusia, kemajuan mereka jauh melampaui apa-apapun yang kita mampu bayangkan. Jadilah seperti ular yang menyusur akar, takkan hilang pula bisanya…Jumpa lagi

Salam dari

Mohd Fakhrul Rozi b. Abd Rahman

London, United Kingdom